AM > BERITA

16,000 Permohonan BUDI Agri-Komoditi Diluluskan Setakat 13 Ogos - Johari

15/08/2024 12:58 PM

GUA MUSANG, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah meluluskan sebanyak 16,000 permohonan BUDI Agri-Komoditi dari seluruh Semenanjung, setakat 13 Ogos.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pihaknya turut menerima 7,221 rayuan merangkumi pekebun kecil dalam sektor sawit, getah, kenaf, koko dan lada.

"Sehingga 31 Julai lalu, seramai 210,520 pekebun kecil layak memohon BUDI Agri-Komoditi di seluruh Semenanjung.

"Bagi sektor sawit seramai 104,492 pekebun layak memohon, sektor getah (104,739 orang), sektor kenaf (584 orang), sektor koko (542 orang) dan sektor lada (163 orang)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Turun Padang Budi Agri-Komoditi di Dewan Serbaguna Agropolitan, di sini hari ini.

Johari berkata pihaknya juga akan terus mengadakan aktiviti turun padang memberikan taklimat mengenai inisiatif BUDI Agri-Komoditi serta menyediakan kaunter pendaftaran bagi pekebun kecil membuat permohonan.

"Individu perlu berdaftar dengan agensi di bawah KPK iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

"Selain itu, syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon adalah keluasan tanah yang dimiliki atau diusahakan secara persendirian mengikut jenis tanaman seperti 4.5 hektar ke bawah bagi pekebun kecil sawit dan getah, manakala 2.5 hektar ke bawah untuk pekebun kecil lada, koko dan kenaf," katanya.

Beliau berkata pembayaran insentif akan diberi sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada pekebun kecil yang layak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan