AM > BERITA

RUU Keselamatan Dalam Talian Dijangka Dibentang Pada Sidang Parlimen Akan Datang

15/08/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dijangka dapat dibentang pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata rang undang-undang itu kini diperhalusi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Fahmi berkata rang undang-undang itu juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk melesenkan platform media sosial sebagai usaha mengatasi masalah yang berlaku melibatkan platfrom dalam talian.

“Perkara ini dibincangkan dari semasa ke semasa, kita ada jawatankuasa khas melibatkan beberapa kementerian… kita jangkakan masa yang tidak terlalu lama, setidak-tidaknya satu Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dapat dibawa ke Parlimen. 

“Kita harap dapat dibawa ke Parlimen dalam sidang yang akan datang tetapi seperti yang disebut sebelum ini, ada beberapa perkara yang perlu kita pinda dalam undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekosistem Pembekal Huawei Malaysia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Fahmi juga berkata rang undang-undang itu perlu diperhalusi supaya takrifan kesalahan yang diperuntuk dalam peraturan baharu adalah jelas dan lebih khusus.

“Misalnya kita nampak seperti penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak…dalam tiga, empat kategori (kesalahan) ini, ada beberapa undang-undang yang kita perlu teliti.

"Sebagai contoh, buli siber tidak ada takrifan khusus dalam Kanun Keseksaan, jadi perkara itu perlu diperhalusi,” katanya.

Berdasarkan takwim Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan