BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 AM > BERITA

SSPA Bukan Sekadar Tingkat Pendapatan Penjawat Awam, Tapi Berteraskan Prestasi - PM

16/08/2024 02:13 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dirangka bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi ia merupakan satu sistem saraan yang berteraskan prestasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata SSPA akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Ganjaran akan hanya diberikan kepada mereka (penjawat awam) yang tunjuk kesetiaan dan memberikan perkhidmatan yang baik.

“Yang mengetepikan tugas, cuai dan malas, saya nak beritahu mereka ini tidak akan diberi layanan dan ganjaran setimpal. Kalau lembab, malas dan cuai, walau sudah kerja 20 tahun, peningkatan pendapatan tidak akan dijamin,” katanya yang disusuli tepukan gemuruh daripada lebih 3,000 penjawat awam yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ hari ini.

Majlis itu yang turut disiarkan secara langsung oleh Bernama TV dan Jabatan Penyiaran (RTM) serta pelbagai platform sosial media.

Anwar berkata ketetapan itu adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam serta menjaga kesejahteraan pegawai, maka prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.

“SSPA ini adalah satu pengiktirafan terhadap pengorbanan yang begitu besar daripada penjawat awam dan semoga ia sedikit sebanyak memberi sinar harapan dalam kesejahteraan hidup penjawat awam,” katanya.

SSPA akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis ini.

--  BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan