AM > BERITA

Kenaikan Gaji Selari Inisiatif Kesuma, Reformasi Pasaran Buruh Swasta - Abdul Rahman

17/08/2024 11:06 AM

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan semalam selari dengan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam memperkukuhkan dan mereformasi pasaran buruh swasta, dengan matlamat meningkatkan gaji pekerja secara progresif dan seiring dengan produktiviti negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata dengan kenaikan gaji penjawat awam ini, ia akan menjadi pelengkap kepada Dasar Gaji Progresif Negara dan dasar gaji sedia ada iaitu Dasar Gaji Minimum serta Sistem  Upah yang dikaitkan dengan Productivity Linked-Wage System (PLWS).

"Perkara ini sebenarnya akan meningkatkan lagi produktiviti negara dalam usaha mencapai julat pendapatan rakyat Malaysia yang  lebih seimbang.

“Saya percaya dengan pelarasan gaji penjawat awam ini, ia akan memberikan momentum kepada pihak swasta untuk mengikuti saranan kerajaan. Usaha ini selari dengan maklum balas yang diterima semasa libat urus dengan lebih 1,000 majikan dari pelbagai sektor sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jeram Tekoh, di sini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Jan 2026.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan