AM > BERITA

PRK Mahkota: Calon Gabungan Parti Kerajaan Perpaduan Mungkin Muka Baharu - Ahmad Zahid 

17/08/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Calon yang akan diketengahkan bagi mewakili gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mungkin merupakan muka baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata nama calon itu akan diumumkan selepas perbincangan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, minggu depan.

“Insya-Allah, calon muka baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di sini, hari ini.

Beliau juga mengulangi pendiriannya bahawa kerusi tersebut harus ditandingi oleh parti yang menyandang kawasan berkenaan.

“Prinsip pertama ialah jika kerusi tersebut dipegang oleh sesebuah parti, maka parti itulah yang akan bertanding. Prinsip ini sangat dihormati oleh parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini juga merupakan asas yang akan kita gunakan apabila meletakkan calon di DUN Mahkota nanti,” katanya.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan