AM > BERITA

Penggunaan Teknologi Terkini Penting Tingkat Tahap Keselamatan Di ESS Zone

17/08/2024 02:26 PM

Oleh Khatijah Jistoh

LAHAD DATU, 17 Ogos (Bernama) -- Penggunaan teknologi canggih dan aset keselamatan berteknologi tinggi ialah langkah penting dalam memperkukuh kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone). 

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata justeru teknologi terkini seperti pesawat tanpa pemandu (UAV) amat diperlukan untuk mengatasi cabaran keselamatan di kawasan sempadan negara terutama di pantai timur Sabah merangkumi kira-kira 1,400 kilometer.

Beliau berkata aset berteknologi tinggi seperti ini penting untuk mengawal sempadan daripada ancaman seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin.

“Penggunaan UAV membolehkan pihak keselamatan memperoleh maklumat tepat dalam masa sebenar walaupun berdepan keadaan cuaca buruk atau ombak besar. Dengan UAV kita dapat mengumpulkan data yang kemudian dihantar ke pusat operasi untuk tindakan lanjut.

“Bagi kawasan-kawasan lebih kecil, dron menjadi pilihan terbaik. Dron membolehkan pantauan daripada sudut pandangan udara yang memberikan gambaran jelas mengenai pergerakan di kawasan berkenaan," katanya kepada Bernama.

Victor berkata data yang diperoleh daripada UAV dan dron ini kemudian boleh dihantar ke pusat operasi membolehkan ESSCOM merancang tindakan dalam menjaga keselamatan dengan lebih efisien.

Selain itu, penggunaan UAV dan dron juga dapat mengurangkan kos operasi serta meningkatkan keselamatan anggota yang bertugas kerana mereka akan mempunyai maklumat lebih tepat sebelum memasuki kawasan berisiko.

"Keselamatan anggota terjamin kerana kita sudah tahu di mana arah yang perlu kita tuju," katanya.

Dalam aspek kawalan sempadan darat, Victor mencadangkan penggunaan teknologi sensor terkini untuk mengesan sebarang pencerobohan di sempadan negara.

Teknologi sensor ini berfungsi dengan memantau pergerakan manusia pada jarak yang agak jauh dengan menggunakan teknologi fiber optik dikenali sebagai ‘fiber-optic sensing’.

"Jika terdapat pencerobohan, sensor ini akan mengesan dan menghantar data ke pusat operasi untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Victor berkata teknologi sensor ini juga dapat memplot data pada peta, membolehkan pihak operasi merancang pemantauan dan serbuan dengan lebih berkesan.

"Ini membolehkan kami mengenal pasti kawasan laluan yang sering digunakan untuk pencerobohan," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar penggunaan teknologi ini dimulakan di Pulau Sebatik, Tawau sebagai langkah awal sebelum diperluaskan ke kawasan lain di ESSZone.

"Dengan pemasangan teknologi ini, kita mungkin tidak lagi perlu menempatkan anggota 24 jam di sempadan darat. Ini akan disokong oleh pemasangan kamera untuk memantau pergerakan di kawasan berkenaan," tambah Victor.

Beliau berkata permohonan untuk penggunaan semua teknologi ini telah diserahkan dan dimasukkan dalam bajet ESSCOM sebagai usaha berterusan bagi memperkukuh keselamatan di ESSZone.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan