AM > BERITA

KPDN Pastikan Orang Asli Tidak Terputus Barangan Keperluan Asas

17/08/2024 06:02 PM

BERA, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memastikan penduduk luar bandar termasuk Orang Asli di Semenanjung serta Orang Asal di Sarawak dan Sabah tidak terputus bekalan barangan keperluan asas.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata antara langkah dilaksanakan termasuk mengadakan Jualan Rahmah di perkampungan masyarakat itu yang menawarkan pelbagai barangan dengan harga rendah berbanding pasaran.

"Saya dapat tahu, sambutan diterima sangat baik, barangan yang dijual juga lebih rendah 30 hingga 40 peratus daripada harga pasaran," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia (SHOAS) 2024 di Kampung Pos Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata KPDN sebelum ini telah mengadakan Jualan Rahmah di kampung tersebut pada 16 Julai tahun lepas yang menerima reaksi positif masyarakat setempat.

Selain itu, Fuziah berkata antara fokus kerajaan adalah memastikan harga barangan keperluan asas yang dibeli oleh golongan berkenaan terkawal.

Pada sambutan itu, pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan sukan termasuk menyumpit, persembahan kebudayaan Orang Asli dan Borneo, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sambutan antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dan melindungi hak penduduk Orang Asli serta mengiktiraf pencapaian dan sumbangan mereka dalam isu-isu dunia seperti perlindungan alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan