AM > BERITA

JPJ Tambah 1 Jam Waktu Operasi Kaunter Di KL, Selangor, Pulau Pinang Dan Johor

17/08/2024 10:00 PM

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu pengoperasian kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih berkuat kuasa Isnin ini, bagi memudahkan urusan pelanggan.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata kaunter itu akan dibuka setiap hari Isnin dan Jumaat di JPJ Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, manakala setiap hari Ahad dan Khamis di JPJ Johor.

“Semua hari tersebut dikategorikan sebagai ‘hari sesak atau sibuk’ dengan trend pelanggan yang tinggi. 

“Pertambahan waktu operasi kaunter di JPJ ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang seterusnya akan melibatkan JPJ Negeri yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly berkata satu Jawatankuasa Tadbir Urus yang berfokus bagi peningkatan kualiti JPJ terutamanya penyampaian kaunter bagi memantau, melihat dan menambah baik perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa, akan ditubuhkan.

Beliau berkata JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat, selaras dengan Aspirasi Malaysia MADANI.

Aedy Fadly berkata JPJ bertekad dan beriltizam meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya penyampaian perkhidmatan kaunter di setiap JPJ negeri dan cawangan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, semalam.

“JPJ ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan, di atas berita baik dalam melaksanakan pelarasan gaji kepada pegawai Kumpulan Pelaksana, pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi perkhidmatan awam terutamanya warga JPJ,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan