AM > BERITA

Ahli RAC Satukan Pelbagai Kaum Melalui Zumba

18/08/2024 04:22 PM

JITRA, 18 Ogos (Bernama) -- Penyatuan pelbagai bangsa termasuk kaum minoriti Siam dalam aktiviti zumba anjuran Rimba Aerobic Club (RAC) bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat dan mempererat hubungan, malah ia menggambarkan kesamaan di antara ahli-ahlinya.

Pengerusi RAC Datin Seri Wendy Tham berkata hidup di sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum menuntut agar keharmonian dan kesejahteraan selamanya terpelihara, justeru beliau bertekad untuk sentiasa mencari jalan agar rangkaian kenalannya melampaui batas agama, bangsa serta budaya.

"Saya lihat zumba yang diminati pelbagai lapisan masyarakat mampu menyatupadukan pelbagai kaum. Semua orang suka bergembira dan zumba ialah salah satu aktiviti sihat sangat menarik dan menggembirakan sesiapa sahaja yang menyertainya. 

"Dalam RAC, kita ada semua kaum, Cina, Melayu, India dan saya sendiri wakil kaum Siam. Walaupun kaum minoriti, tapi kami ada dan boleh bergaul baik dengan rakan-rakan bangsa lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Konvoi dan Zumba Merdeka RAC di Taman Tasik Darulaman di sini.

Beliau berkata sebagai pergerakan terdiri daripada pelbagai kaum, semangat nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan ahli-ahlinya sangat tinggi dan ia mendorong mereka menganjurkan pelbagai aktiviti selain zumba bagi mengeratkan hubungan sesama sendiri.

"Sempena bulan Kebangsaan, kami gandakan aktiviti, bukan sahaja berzumba di kawasan kelab ini yang ditubuhkan di Taman Rimba (Alor Setar), kami juga anjur konvoi merdeka ke daerah lain untuk meriahkan sambutan Hari Kemerdekaan di samping berzumba beramai-ramai dengan semua orang," katanya.

Wendy berkata setiap kali musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari Raya atau sambutan Wesak, beliau dan rakan-rakan akan menganjurkan majlis jamuan melibatkan semua kaum dan berbusana mengikut perayaan diraikan.

Seorang pesara Ooi Ean Leng, 78, berkata tujuannya menyertai aktiviti RAC bukan untuk mengekalkan kesihatan sahaja, malah ia memberi peluang untuk bergaul dengan rakan-rakan pelbagai bangsa kerana sudah terbiasa dengan suasana itu ketika masih bertugas sebagai penjawat awam.

"Seronok ada kawan-kawan banyak bangsa, bukan Cina sahaja. Setiap tahun saya sertai apa saja aktiviti termasuklah baru-baru ni mengacau bubur asyura sempena Muharam," katanya.

Lana Ernita, 52, pula berkata aktiviti zumba pelbagai kaum lebih meriah kerana dapat beramah mesra dalam suasana yang ceria tanpa rasa kekok walaupun berbeza latar belakang.

"Sudah lama saya menyertai aktiviti zumba ini, kalau ada lain-lain bangsa lagi seronok sebab dapat lah kita faham budaya mereka dan ambil petua amalan gaya hidup sihat daripada kaum lain," katanya yang berkemahiran mengurut dan sering berzumba di studio mahupun di taman rekreasi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan