AM > BERITA

Negara Pengimport Minyak Kelapa Sawit Dipelawa Pulihara Orang Utan Sabah

18/08/2024 08:42 PM

SANDAKAN 18 Ogos (Bernama) -- Malaysia mempelawa negara pengimport minyak kelapa sawit untuk turut sama terlibat dalam usaha pemuliharaan orang utan di Sabah melalui pendekatan in situ iaitu dalam habitat semula jadi.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata keputusan itu diambil selepas menilai selama beberapa bulan maklum balas mengenai idea Diplomasi Orang Utan yang dibincang pada Forum Biodiversiti 2024 di Pahang, Mei lepas.

Beliau berkata pendekatan in situ dipilih selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam industri kelapa sawit melalui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

“Semua aktiviti pemuliharaan akan dijalankan di dalam kawasan hutan atau tompok hutan di ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai Nilai Konservasi Tinggi (HCV).

"Kawasan HCV ini menyediakan ruang bagi orang utan untuk bergerak bebas, mencari makanan dan membiak tanpa gangguan daripada manusia atau aktiviti lain," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2024 di sini hari ini.

Johari juga berkata idea Diplomasi Orang Utan adalah bagi memperbaiki persepsi negatif terhadap industri kelapa sawit Malaysia dan melalui inisiatif itu, negara pengimport minyak itu boleh menjadikan seekor atau lebih orang utan sebagai 'haiwan angkat' serta menamakannya.

Beliau berkata laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2019 menunjukkan populasi orang utan di Sabah adalah stabil dengan anggaran terdapat 10,000 hingga 15,000 haiwan itu di negeri tersebut.

Johari berkata MPOGCF juga telah memperuntuk dana sebanyak RM1.23 juta kepada badan bukan kerajaan di Sabah bagi menjalankan kajian populasi orang utan Borneo dari 2023 hingga 2025.

“Saya menggesa pemain industri kelapa sawit untuk menyumbang secara sukarela kepada MPOGCF dengan insentif cukai sebagai dorongan dan dana ini akan digunakan untuk pelbagai program pemuliharaan termasuk pemantauan orang utan oleh pasukan renjer yang terlatih,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Sabah, Sarawak dan syarikat Sawit Kinabalu Sdn Bhd kerana membelanjakan lebih RM10 juta sejak 2003 bagi memulihara populasi haiwan itu di Kawasan Konservasi Sungai Pin, yang kini menempatkan 55 orang utan.

Johari berkata kerajaan pusat akan terus menyokong usaha memulihara orang utan di Borneo yang merupakan satu-satunya habitat semula jadi spesies haiwan itu di dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan