SUKAN > BERITA

TFC Lalui Detik Cemas Sebelum Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

22/12/2024 11:48 AM

KUALA NERUS, 22 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui pasukannya melalui detik cemas sebelum mengesahkan tempat di separuh akhir Piala Malaysia dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Babak pertama aksi suku akhir kedua semalam, menyaksikan anak buahnya ketinggalan 0-2 sebelum mempamerkan aksi luar biasa pada separuh masa kedua untuk melakar kemenangan 4-2 sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 6-2.

“Saya akui memang cemas setelah ketinggalan 0-2 meskipun secara keseluruhannya kita mengawal permainan pada babak pertama dan kedua.

"Tetapi silap pemain kita yang terlalu leka. Kita terlampau ghairah mencari gol untuk mara ke separuh akhir hingga membuat kesilapan yang tak sepatutnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan di SSMZA malam tadi.

Badrul Afzan bagaimanapun berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan akan membuat persiapan rapi apabila menerima kedatangan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk aksi separuh akhir pertama pada 17 Jan depan, sebelum aksi timbal balik pada 1 Feb.

Pengendali NSFC K Nantha Kumar berkata kesilapan bentang pertahanan menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mencipta kejutan mara ke separuh akhir.

"Selepas TFC menyamakan kedudukan, kita dah mula perlahan. Pada babak kedua TFC mula menguasai permainan.

"Kita akan fokus pada cabaran Liga Super selepas ini. Kita ada lagi sembilan perlawanan untuk keluar daripada tangga tercorot," katanya.

Sementara itu,  JDT selaku juara bertahan menepati ramalan untuk melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Kuala Lumpur City FC 4-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, sekali gus mara dengan agregat 6-1.

Ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio berpuas hati dengan prestasi pemain yang konsisten dan agresif untuk memastikan mereka berada di landasan tempat untuk memburu piala ketiga musim ini.

"Pada pendapat saya, pemain memberikan persembahan yang sangat baik. Kami cuba menekan pihak lawan dan bermain dengan agresif dan mengamalkan corak permainan intensiti tinggi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bidoglio bagaimanapun berkata pemainnya mesti sentiasa berhati-hati dan tidak terlalu selesa dengan prestasi semasa, menekankan keperluan untuk kekal fokus bagi meningkatkan kemahiran mereka.

"Perkara paling penting ialah kami bermain sebagai pasukan yang kompak, agresif dan dinamik. Ini sentiasa menjadi falsafah saya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan