AM > BERITA

Putera Mahkota Brunei Berangkat Bertemu MNC Dan Jamuan Minum Petang

19/08/2024 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah berangkat ke pertemuan dan jamuan minum petang bersama syarikat multinasional (MNC) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Putera Mahkota Brunei itu disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung 45 minit itu ialah Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Shushilil Azam Shuib.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, tiba di Malaysia bersama isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Sabtu lepas bagi lawatan rasmi lima hari ke Malaysia dari 17 hingga 21 Ogos.

Lawatan Putera Mahkota Brunei menambah lagi makna kepada hubungan istimewa dan mesra antara Malaysia dan Brunei yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat, terutamanya ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini.

Brunei ialah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan