AM > BERITA

RM17 Juta Diperuntuk Menerusi Skim Dermasiswa Premium MAINPP

19/08/2024 07:43 PM

BUTTERWORTH, 19 Ogos (Bernama) --  Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan sebanyak RM17 juta melalui Skim Dermasiswa Premium Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada 5,000 pelajar yang melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata jumlah itu meningkat RM2 juta berbanding RM15 juta tahun lepas susulan peningkatan jumlah bayaran zakat yang diterima ZPP.

Beliau berkata pelajar yang layak menerima agihan itu bermula daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam semua bidang pengajian diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Sebanyak RM2,500 diberikan kepada penerima peringkat diploma dan RM3,500 bagi ijazah sarjana muda di samping bantuan kepada pelajar yang belajar di luar negara seperti Mesir dan Jordan dengan jumlah bergantung kepada tahap kelulusan mereka. 

“Tahun ini, kita juga membuat penambahbaikan kepada Skim Dermasiswa Premium dengan memperluaskan agihan kepada pelajar-pelajar muslim Pulau Pinang yang belajar di politeknik,” katanya kepada pemberita pada majlis serahan Dermasiswa Premium MAINPP di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata agihan secara sekali beri RM800 turut diberikan kepada pelajar-pelajar tingkatan enam melibatkan peruntukan berjumlah RM800,000.

Justeru, beliau berharap individu dan syarikat, masing-masing dapat menunaikan tanggungjawab membayar zakat pendapatan dan zakat perniagaan supaya bantuan seumpama itu boleh ditingkatkan pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan