AM > BERITA

Isu 3R: AMK Buat Laporan Polis Terhadap Muhyiddin

19/08/2024 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, berikutan kenyataan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Ketua AMK Adam Adli Abd Halim berkata laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, bersama-sama AMK Pahang.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu, turut digerakkan oleh AMK di negeri lain seluruh negara.

“Di IPD Temerloh sebentar tadi bersama teman-teman AMK Pahang yang membuat laporan polis terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin terkait penghinaan terhadap kebijaksanaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam membuat keputusan sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong. 

“Politik memang akan sentiasa runcing, namun pemimpin politik harus bertanggungjawab dalam memelihara keluhuran perlembagaan yang menjamin kedaulatan, keharmonian dan perpaduan masyarakat negara ini,” katanya di aplikasi X, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan