AM > BERITA

Pelepasan Cukai Anak Antara Langkah Penjimatan

20/08/2024 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Pelepasan cukai melibatkan anak antara yang sering dan mudah dituntut oleh pembayar cukai sekali gus dapat memberi kesan besar dalam langkah penjimatan cukai.

Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Selangor Ili Diyana Abd Hadi berkata hal ini kerana ibu bapa mempunyai dokumen sokongan anak iaitu sijil kelahiran atau sijil akuan anak angkat bagi membolehkan mereka menikmati potongan yang disediakan untuk pelepasan cukai.

Beliau berkata terdapat empat jenis pelepasan berkaitan anak yang diperuntukkan iaitu anak berumur 18 tahun ke bawah dengan potongan RM2,000 bagi setiap anak, manakala anak yang berumur 18 tahun ke atas dan belajar peringkat tinggi iaitu diploma dan ke atas di dalam Malaysia serta peringkat ijazah dan ke atas untuk yang belajar di luar negara, mendapat pelepasan sebanyak RM8,000. 

Bagi anak kurang upaya pula katanya, sebanyak RM6,000 diberikan selain pelepasan tambahan RM8,000 untuk anak kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas yang menyambung pelajaran pada peringkat lebih tinggi.

"Dalam borang ada kolum 100 peratus dan 50 peratus, apa bezanya? Untuk 100 peratus adalah bagi pasangan yang berkahwin dan boleh dituntut oleh suami atau isteri bagi seorang anak dan tidak boleh tuntut untuk anak yang sama.

“Ruang 50 peratus pula adalah bagi pasangan yang telah bercerai dan boleh tuntut atas anak yang sama," katanya dalam temu bual Bernama Radio yang membincangkan “Cara Maksimumkan Penjimatan Cukai” hari ini.

Selain itu, Ili Diyana berkata pasangan yang bekerja juga disarankan untuk memilih taksiran secara berasingan bagi membolehkan masing-masing mendapat pelepasan diri sebanyak RM9,000 seorang. 

Pembayar cukai yang mencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melibatkan mana-mana produk SSPN Prime dan SSPN Plus juga layak membuat tuntutan berdasarkan jenis taksiran yang dipilih sama ada taksiran berasingan atau taksiran bersama, katanya.

Beliau berkata cara lain untuk memaksimumkan penjimatan cukai pendapatan ialah melibatkan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa yang terhad RM8,000 mengikut jenis perbelanjaan.

“Perubatan ibu bapa adalah kepada mereka yang bermastautin di Malaysia dan menerima rawatan di klinik atau hospital dalam negara.

"Semua perubatan perlu disokong oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan boleh dituntut kecuali pergigian yang terhad kepada menampal, mencabut dan membersihkan karang gigi dan bukan yang bersifat kosmetik," katanya.

Beliau berkata langkah penjimatan cukai juga boleh diperoleh menerusi segmen gaya hidup melibatkan pembelian komputer peribadi, telefon pintar, peralatan sukan, Internet dan pembelian buku yang terhad kepada RM2,500.

Selain itu, pelepasan tambahan yang terhad RM500 antaranya bayaran sewa atau fi kemasukan ke fasiliti sukan dan bayaran fi pendaftaran untuk menyertai pertandingan dengan penganjur diluluskan dan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN Selangor Ilyia Haidar Kharib mengingatkan kepada pembayar cukai agar memanfaatkan setiap pelepasan cukai dan rebat bagi memperoleh penjimatan serta mengelakkan daripada melakukan penipuan dokumentasi.

Pembayar cukai juga katanya, disarankan membayar cukai tepat pada waktu dan menyimpan dokumen percukaian bagi tempoh tujuh tahun. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan