AM > BERITA

Murid Orang Asli Cipta Jalur Gemilang Melalui Capan Tapak Tangan

20/08/2024 04:11 PM

KUALA BERANG, 20 Ogos (Bernama) -- Seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua di sini hari ini menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan menghasilkan Jalur Gemilang melalui teknik capan tapak tangan.

Ketua Program (Pembangunan Komuniti) Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Norhayati Ab Manaf yang juga pengarah program pada hari ini berkata aktiviti menekap tapak tangan yang telah diwarnakan di atas kain putih itu turut disertai 40 murid Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud di Besut dekat sini.

“Tujuan program kita (UMT) dengan kerjasama dua buah sekolah ini adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan menanamkan semangat patriotik dalam kalangan murid sekolah.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada murid Orang Asli di SK Sungai Berua dan murid SK Tengku Mahmud untuk berinteraksi sesama sendiri,” katanya kepada pemberita pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Penghayatan Hari Merdeka Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Berua di SK Sungai Berua, di sini hari ini.

Norhayati berkata Jalur Gemilang yang berjaya disiapkan dalam tempoh hampir satu jam di atas kain putih sepanjang empat meter dan lebar dua meter itu akan dikibarkan di Sekolah Rimba yang didirikan UMT di kampung Orang Asli berkenaan pada tahun 2021.

Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT Prof Dr Marinah Mohd Ariffin berkata program hari ini juga dijalankan bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dalam bersama-sama merasai semangat patriotik dan cintakan negara.

“Sementara kita bercakap berkenaan Malaysia MADANI dan Jiwa Merdeka, kita patut sama-sama bergerak untuk memerdekakan pemikiran, terutama kanak-kanak generasi muda Orang Asli di sini supaya semangat kemerdekaan itu dapat dirasakan bersama,” katanya.

Beliau berkata selain menghasilkan Jalur Gemilang melalui teknik capan tapak tangan itu, UMT turut melaksanakan program memasang bendera di kesemua 103 rumah di Kampung Sungai Berua.

Marinah berkata UMT, terutama melalui Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari telah menjalin hubungan akrab bersama komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Berua sejak 2021 menerusi pelbagai program.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan