AM > BERITA

Kementerian, Jabatan Diarah Tubuh JP4 Pantau Penyampaian Perkhidmatan Awam

21/08/2024 10:16 AM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) untuk memantau pelaksanaan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan di peringkat masing-masing.

Arahan ini, susulan penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos lepas, mengenai kepentingan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan kadar segera.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata perkara itu melibatkan proses kerja sedia ada yang perlu ditambah baik, serta peraturan-peraturan dan piagam pelanggan yang wajar dikemas kini supaya lebih menepati keperluan rakyat.

"Arahan itu bertujuan untuk memperkemas dan memperkukuh usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya menerusi surat edaran yang ditandatanganinya bertarikh pada 19 Ogos.

Beliau berkata bagi memastikan inisiatif itu dilaksanakan secara teratur, JP4 kementerian, jabatan dan agensi perlu menghantar laporan prestasi penyampaian perkhidmatan kepada Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, Jabatan Perkhidmatan Awam (BPPD JPA).

"Laporan secara berkala perlu dihantar setiap tiga bulan bagi tujuan pelaporan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)," katanya.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu diharap dapat diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berintegriti dapat direalisasikan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan