AM > BERITA

Bekas Ahli Dewan Negara Roslan Awang Chik Meninggal Dunia Akibat Strok

21/08/2024 10:47 AM

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Negara Datuk Roslan Awang Chik meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat strok, pada awal pagi tadi.

Anak lelakinya, Fadhlan Roslan, 44, berkata Allahyarham Roslan, 73,  meninggal dunia pada 2.51 pagi tadi di sisi beberapa ahli keluarga.

Beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman mereka di Batu Buruk, di sini untuk disolatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim selepas zohor.

"Arwah juga menghidap kanser limfoma sejak dua tahun lalu dan menjalani rawatan kimoterapi di HSNZ," katanya ketika dihubungi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Roslan pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang selama satu penggal dari 1995 hingga 1999, dan juga dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bermula 2004 hingga 2010.

Selain itu, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan