AM > BERITA

Jabatan Penjara Tingkat Kawalan Keselamatan - Abdul Aziz

21/08/2024 04:19 PM

LENGGONG, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia sentiasa berusaha memperketatkan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan di penjara di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata pihaknya memberi penekanan kepada aspek kawalan keselamatan bukan hanya ketika berada di dalam penjara sahaja, tetapi kawasan luar penjara turut perlu diberi perhatian. 

Berckap dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Khidmat Komuniti Sempena Majlis Gotong-Royong Kampung Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Beng, dekat sini beliau berkata pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan dan integriti.

"Kejadian di Penjara Tapah baru-baru ini kita tidak boleh ambil mudah, enteng dan remeh kerana sedikit kecuaian mungkin mengundang mudarat seandainya keselamatan diabaikan dan tiada kawalan yang ketat diambil untuk menjaga ketenteraman di dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada pendedahan polis baru-baru ini yang mengesan penggunaan dron untuk menyeludup dadah ke dalam penjara, serta penemuan serbuk putih disyaki heroin kira-kira 122 gram dan ketulan kristal disyaki methamphetamine dipercayai dibawa masuk ke kawasan Penjara Tapah menerusi penggunaan dron.

Abdul Aziz berkata cubaan membawa masuk barangan terlarang ke dalam penjara bukan perkara baharu, malah pihaknya telah beberapa kali berjaya mematahkan usaha pihak luar untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara sebelum ini.

“... jadi apabila tidak boleh menggunakan laluan darat, mereka cuba pula laluan udara (guna dron) namun pegawai kita yang sentiasa berwaspada berjaya mengesan taktik ini," katanya.

Beliau berkata perkara penting mengenai kawalan keselamatan adalah kesiapsiagaan pegawai penjara itu sendiri dan sentiasa memberi penekanan kepada pegawai bertugas supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika melakukan kawalan.

Sementara itu, beliau berkata pemulihan prospek dalam komuniti memberi kesan positif kepada mereka dan ia terbukti lebih berkesan dalam mencegah residivis atau jenayah berulang berbanding pemulihan dalam fasiliti.

"Jabatan Penjara Malaysia terlibat dalam Program Keceriaan Sekolah di SK Kampung Beng dan ia turut melibatkan 30 prospek dalam komuniti yang ditugaskan mengecat dinding sekolah dan melukis mural bagi mengindahkan sekolah yang berusia 102 tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan