AM > BERITA

Teksi Air Boleh Didapati Di Lima Lokasi - Fahmi

21/08/2024 06:32 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan teksi air di lima lokasi sekitar sini pada 31 Ogos nanti, iaitu di jeti Monumen, Anjung Floria, jeti Kelab Tasik Putrajaya, jeti Ayer 8 dan jeti Marina, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata perkhidmatan itu disediakan khusus kepada orang ramai untuk memudahkan pergerakan dari kawasan parkir ke Dataran Putrajaya di sini, bagi menyaksikan pelbagai persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

“Pada 31 Ogos ini kita sediakan perkhidmatan ini secara percuma untuk orang ramai bermula dari pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari. Semua yang hadir untuk sambutan Hari Kebangsaan seharusnya manfaatkan kemudahan ini,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Perbadanan Putrajaya turut menyediakan kemudahan ‘cruise’ tasik dan 80 bas ulang alik pada 31 Ogos ini. 

Sementara itu Fahmi turut mengajak orang ramai memeriahkan Floria Diraja Putrajaya 2024 yang akan bermula esok sehingga 1 September ini di Persisiran Tasik, Presint 2.

“Kita ambil maklum bahawa Floria Diraja Putrajaya 2024 akan bermula esok, dan sempena sambutan Hari Kebangsaan nanti, orang ramai boleh ambil kesempatan melawat program ini,” katanya.

Floria Diraja Putrajaya 2024 bertemakan ‘Raikan Bersama, Celebrate Together!’ akan mempamerkan lebih 500 jenis orkid daripada pelbagai spesies dan hibrid pelbagai warna termasuk lebih 15 koleksi orkid khas yang terdiri daripada nama-nama Diraja dan orang kenamaan.

Acara itu bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis, dan 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan