AM > BERITA

JKR Siapkan 59 Projek Pulih Bangunan Warisan Tahun Ini

22/08/2024 01:21 PM

ALOR GAJAH, 22 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 59 projek pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan selesai dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya sepanjang tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja akan merancakkan promosi tempat-tempat tersebut terutama di Melaka dan Pulau Pinang, malah diharap dapat menarik pelancong dari dalam dari luar negara.

“Terkini kita akan serahkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 27 Ogos (minggu) depan, bangunan tersebut telah siap dipulihkan dan ini membuktikan kesungguhan semua pihak yang komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan," katanya kepada media selepas merasmikan Program Platform for Exploration: Technical and Design (PENTAS) 2024 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Roslan Ismail. 

Beliau berkata projek itu melibatkan kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan antaranya di peringkat Persekutuan, negeri, khidmat nasihat serta pembangunan dan kajian oleh pelbagai unit dan agensi termasuk JKR. 

Antara bangunan warisan terlibat ialah Istana Budaya, Menara Condong Teluk Intan dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lumpur. 

Dalam pada itu, beliau berkata program PENTAS yang berlangsung tiga hari bermula hari ini melibatkan 400 peserta termasuk pakar bidang teknikal sektor pembinaan bagi berkongsi pengalaman mengenai pengurusan aset, pemuliharaan warisan serta perancangan pembangunan melibatkan elemen warisan dan budaya.

“Ini merupakan bukti komitmen kementerian terhadap inisiatif untuk mengimbangi pembangunan negara melalui usaha pemeliharaan budaya dan warisan negara. 

"Menerusi PENTAS, diharapkan strategi yang lebih bersepadu dan menyeluruh dalam memastikan pelaksanaan projek-projek yang melibatkan warisan adalah memenuhi jangkaan, berfokus dan berimpak untuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat dan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata usaha memelihara adat budaya, warisan dan seni sama penting dengan keupayaan teknikal yang merupakan pemangkin kepada pembangunan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan