AM > BERITA

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah

22/08/2024 01:25 PM

TAPAH, 22 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah di sini.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah turut berangkat ke majlis berkenaan. 

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry dalam sembah ucapannya berkata penubuhan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah itu memberikan peluang pekerjaan khsususnya kepada staf dan pensyarah muda yang membawa semangat baharu kepada kampus. 

“Faktor ini menjadi kelebihan kepada UiTM, kerana selain atribut fizikal, kualiti pendidikan, semangat pendidik kita dan semangat pelajar kita akan membawa kegemilangan kepada institusi ini,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin dalam sembah ucapannya berkata perasmian kampus itu amat bermakna buat pihaknya kerana bukan sahaja menjadi sejarah, bahkan sebagai peletakan asas yang kukuh bagi fungsi sebenar UiTM untuk menjadi sebuah universiti berasaskan sains dan teknologi.

 Beliau berkata UiTM telah membuktikan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan warganya sehingga ke peringkat antarabangsa. 

“Antaranya, melalui penarafan QS World University Rankings 2024, kedudukan Universiti Teknologi MARA telah melonjak 102 anak tangga kepada kedudukan ke-555 di peringkat dunia dan ke-10 terbaik di Malaysia. 

 “Selain itu, Universiti Teknologi MARA turut meraih kedudukan berprestij dengan berada pada kedudukan ke-98 dan tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia dalam penarafan QS Asia University Rankings 2024,” katanya.

Pada majlis perasmian hari ini, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melawat pameran yang disediakan sebelum berangkat ke majlis santapan dan berangkat pulang.

Seramai 450 pelajar menjadi kumpulan pertama memulakan pengajian di kampus itu yang mula beroperasi pada 27 Dis 2010, sebelum beroperasi sepenuhnya pada 21 April 2014 membabitkan kapasiti 5,000 pelajar dan 2,500 penginapan. 

Setakat ini, cawangan itu menawarkan sembilan program utama daripada Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan