AM > BERITA

KDN Sedia Laksana Pusingan Kerja Lebih Kerap, Bendung Salah Laku - Saifuddin

22/08/2024 01:45 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia melaksanakan pusingan kerja yang lebih kerap dalam agensi-agensinya untuk membendung salah laku yang boleh merosakkan imej kementerian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata langkah itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 baru-baru ini, yang mahu ketua jabatan melaksanakan proses itu secara berterusan.

“Kami akan menilai lagi dari aspek penempatan, seperti yang ditekankan Perdana Menteri (Anwar) bagi mengelakkan bahagian tertentu berada terlalu lama di satu tempat (yang boleh mengundang kepada pelanggaran integriti). Ini kita akan buat tanpa prejudis.

“Malah, sejurus selepas Perdana Menteri berucap, saya menghubungi KSU (Ketua Setiausaha) Datuk Ruji Ubi untuk lihat agensi mana di bawah KDN yang boleh melaksanakan pusingan kerja (job rotation), dan kami akan segerakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Bulan Kebangsaan di sini hari ini.

Saifuddin berkata langkah itu perlu dilaksanakan secara kerap bagi mengelak kes rasuah dan pelanggaran integriti dalam agensi penguat kuasa daripada terus berulang.

Memberi contoh kes penahanan lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, beliau berkata KDN tidak akan berkompromi dengan perbuatan salah laku seumpama itu dan akan berusaha untuk membanteras secara berterusan.

“Yang paling penting, KDN mengamalkan prinsip tanpa kompromi terhadap pelanggaran integriti kerana ia nampak sangat buruk, lebih-lebih lagi soal integriti, kerap ditekankan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut, Saifuddin percaya tangkapan itu dilakukan selepas suruhanjaya itu menjalankan proses seperti intipan, identifikasi dan pemantauan sebelum mengambil tindakan.

“Tangkapan SPRM terhadap beberapa individu yang bertugas dengan JIM ini adalah selaras dengan penegasan Perdana Menteri bahawa SPRM mempunyai kuasa penuh untuk bertindak terhadap semua pihak, termasuk agensi di bawah KDN,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai pembongkaran sindiket membawa masuk pekerja asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa, yang dipercayai didalangi beberapa individu dari agensi penguat kuasa.

Seramai 12 individu ditahan menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan. 

Individu yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat, tiga orang awam yang dipercayai menguruskan kemasukan warga asing, serta lima penguat kuasa yang bertugas di KLIA Terminal 2.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan