AM > BERITA

JPNIN Sasar 500 KRT Progresif Tahun Hadapan

23/08/2024 04:01 PM

BATU PAHAT, 23 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menyasarkan 500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negara ini mendapat status KRT Progresif tahun hadapan.

Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud berkata sasaran peringkat permulaan untuk tahun ini ialah satu KRT Progresif setiap daerah, namun sehingga awal bulan ini (Ogos), 121 KRT telah mencapai status berkenaan.

Beliau berkata pihaknya berharap lebih banyak lagi KRT di negara ini dari jumlah keseluruhan 8,348, mampu mencapai tahap berkenaan selepas ini, sekali gus menjadi model contoh kepada KRT yang lain.

“Pemilihan dan penarafan sebagai KRT Progresif adalah berdasarkan beberapa faktor seperti aktif serta mempunyai potensi dari segi ekonomi dengan mampu menjana pendapatan sendiri dan dapat memajukan kawasan berkenaan.

“Ia (faktor) juga termasuk dari segi keselamatan, kesejahteraan komuniti serta mempunyai perpaduan dan kerjasama dari pelbagai lapisan iaitu Tunas Jiran (kanak-kanak), Jiran Muda (belia) dan Jiran Wanita,” katanya kepada pemberita selepas  program Semarak Kemerdekaan JPNIN Negeri Johor 2024 dan Lawatan Ke KRT Progresif di KRT Kampung Satey/Pantai di sini hari ini.

Che Roslan berkata bagi KRT yang telah mencapai status KRT Progresif, pihak JPNIN akan melakukan pemantauan setiap dua minggu bagi memastikan ia kekal aktif dan relevan dengan status berkenaan.

Sementara itu, pihaknya juga tidak sesekali meminggirkan KRT di Sabah dan Sarawak dengan terus memberikan galakan kepada KRT di sana untuk mempunyai produk masing-masing.

Melalui pemerhatian yang dilakukan pihaknya, ada KRT Rumah Panjang di Sabah dan Sarawak yang mempunyai hasil kraftangan menarik dihasilkan oleh penduduk setempat, kata beliau.

“Kita di ibu pejabat JPNIN kini sedang berusaha untuk memasarkan produk-produk berkenaan termasuk gabungan promosi secara terus (fizikal) dan juga secara maya (atas talian),” katanya.

Dalam masa yang sama, bersempena dengan bulan kemerdekaan sekarang ini, pihaknya turut menggalakkan seluruh KRT di negara ini melibatkan diri dalam menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang di kawasan kediaman masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan