AM > BERITA

Pembayaran STR Fasa 3 Bermula Khamis Depan, Libat 8.5 Juta Penerima

23/08/2024 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 kepada 8.5 juta penerima akan bermula Khamis depan.  

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) penerima akan menerima bayaran hingga RM650 mengikut kategori masing-masing dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.7 bilion.  

Pembayaran pada 29 Ogos ini melibatkan penerima sedia ada manakala bayaran kepada penerima baharu dan rayuan akan bermula 18 Sept ini. 

"Penerima sedia ada dan penerima baharu atau rayuan yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank. 

"Bayaran STR kepada penerima yang tiada akaun bank akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat," menurut kenyataan itu. 

MOF memaklumkan bermula 2024 kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat  bantuan kerajaan. 

Sehubungan itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

"Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan," menurut kenyataan itu. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menerusi Belanjawan 2024 telah mengumumkan peruntukan STR ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia. 

Semakan status kelayakan STR bermula pada 29 Ogos ini dan soalan lazim boleh didapati di portal rasmi STR di pautan bantuantunai.hasil.gov.my.

MOF juga menasihati penerima STR untuk sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. 

"Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), MOF tidak membuat penghantaran SMS (sistem pesanan ringkas) dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi," menurut kenyatan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan