AM > BERITA

Kepala Air : Jambatan Bailey Ganti Sementara Jambatan Lama Sungai Slim - MB

24/08/2024 10:55 AM

TANJUNG MALIM, 24 Ogos (Bernama) -- Sebuah jambatan Bailey akan dibina menggantikan sementara Jambatan Lama Sungai Slim (Slim Village) di Jalan Slim River-Behrang Hulu yang runtuh akibat pergerakan kepala air, petang semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembinaan jambatan itu dijangka dimulakan hari ini dan dijangka siap dalam masa lima hari.

“Jambatan ini di bawah selenggaraan JKR (Jabatan Kerja Raya), pembinaan jambatan Bailey buat sementara waktu dipertimbangkan bagi menghubungkan laluan yang terputus.

“Manakala dua buah jambatan lagi yang yang turut runtuh, merupakan jambatan jalan kampung iaitu Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampug Sg Muda menghubungkan Kampung Piong,” katanya ketika meninjau Jambatan Lama Sungai Slim di sini hari ini.

Saarani berkata struktur konkrit pada jambatan sepanjang 77 meter dan lebar 7.5 meter yang menghubungkan pekan Slim Village ke Bandar Slim River serta Bandar Behrang, mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada serpihan kayu yang hanyut bersama aliran air banjir. 

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut sentiasa terjamin, laluan tersebut ditutup untuk sementara.

Saarani berkata JKR juga akan melaksanakan pengurusan traffik seperti sistem papan tanda, sekatan dan lain-lain peralatan, sebagai amaran awal bahawa kawasan tersebut ditutup untuk sementara.

Pada kejadian kira-kira 6.45 petang semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Muallim dinaiki air berserta kejadian kepala air mengakibatkan ratusan penduduk terperangkap.

Setakat pagi ini, 175 mangsa daripada 42 keluarga diselamatkan dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), sementara 19 lagi mangsa di Risda Eco Park masih belum diselamatkan akibat jambatan berhampiran runtuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan