AM > BERITA

PERAK 2024 : ASPIRASI BESAR TMP DI SEBALIK TRAGEDI ALAM

10/12/2024 08:46 AM
Daripada Nur Afiradina Binti Arshad

IPOH, 10 Dis (Bernama) -- Perak menyambut 2024 dengan penuh harapan melalui pelancaran Tahun Melawat Perak 2024, satu inisiatif besar oleh kerajaan negeri untuk memulihkan kegemilangan sektor pelancongan pascapandemik.

Menerusi lebih 120 acara dirancang, negeri itu menyasarkan lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa dengan jangkaan pulangan RM10 bilion. 

Bagaimanapun, di sebalik aspirasi itu Perak turut berdepan rentetan tragedi dan cabaran yang menjadi peringatan tentang kuasa alam serta keperluan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.  

Pada 7 Feb, tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor, mengorbankan empat beranak apabila arus deras yang melanda secara tiba-tiba menghanyutkan keluarga malang itu yang sedang berkelah, dalam kejadian pada kira-kira 4 petang.  

Mangsa Aszura Bani, 37, dan anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, ditemukan pada hari kejadian manakala dua anak perempuannya, Hanum Marissa, 2, dan Hanna Mikayla, 7, hanya dijumpai pada keesokan harinya.

Insiden serupa berulang pada 15 Nov di Sungai Jahang, Gopeng, melibatkan tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lemas ketika melakukan aktiviti 'water rafting' iaitu sebahagian daripada program bina semangat yang diikuti mereka. 

Bot dinaiki enam peserta program terbalik akibat arus deras, meragut nyawa Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang Suhaili Mat Saad, 47, Penolong Jurutera Kanan JKR Daerah Langkawi Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi Muhammad Ikram Abdul Bari, 29 , sekali gus mengingatkan pentingnya aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti air. 

Selain meragut nyawa, fenomena tragedi kepala air juga menyumbang kepada kemusnahan infrastruktur sebagaimana kejadian pada 23 Ogos apabila arus deras memusnahkan Jambatan Slim Village, tapak bersejarah Perang Dunia Kedua dan dua jambatan lain di kawasan berdekatan serta menyebabkan lebih 100 individu terperangkap.

Kerajaan segera menggerakkan usaha pemulihan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diberi tanggungjawab mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur kritikal itu.

Ekoran tragedi ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengenal pasti 21 kawasan berisiko tinggi kepala air di lima daerah termasuk Larut Matang dan Selama, Kinta, serta Kampar.

Selain tragedi kepala air, satu fenomena misteri turut menggemparkan Perak apabila gegaran dan bunyi letupan kuat dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pada 21 Okt lepas mencetuskan kebimbangan masyarakat

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris memaklumkan tiada latihan atau letupan di kuari dilaporkan pada hari tersebut manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan tidak mengesan sebarang aktiviti seismik yang boleh dikaitkan dengan gegaran. 

Walaupun 20 agensi telah mengadakan mesyuarat khas untuk mencari jawapan, punca gegaran kekal misteri hingga kini.

Dalam pada itu, Perak turut menyaksikan insiden rusuhan di Depot Tahanan Imigresen di Bidor, Tapah pada 1 Feb, melibatkan 131 tahanan pendatang tanpa izin melarikan diri.

Tahanan terdiri daripada etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh dilaporkan bertindak agresif dengan merempuh pintu sel dan pagar, membaling batu serta mencederakan pegawai imigresen dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas.

Operasi selama 15 hari berjaya menahan semula 101 tahanan. 

Meski dilanda cabaran, kerajaan negeri tetap optimis dengan kejayaan Tahun Melawat Perak 2024 dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee menyatakan kempen itu bukan untuk bersaing dengan negeri lain sebaliknya adalah usaha bersama dalam merancakkan lagi sektor pelancongan domestik. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan