BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM > BERITA

PM Anwar Lawat Brunei Sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25

24/08/2024 07:57 PM

PUTRAJAYA, 24 Ogos  (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Brunei dari 25 hingga 26 Ogos bersempena  Rundingan Pemimpin Tahunan (ACL) ke-25 antara Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata  semasa rundingan  ALC ini, Anwar dan Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu-isu yang tertunggak.

 “Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala. 

Menurut kenyataan Wisma Putra, Anwar akan diiringi Menteri Luar  Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Sabah  Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi  Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan  Fadhlina Sidek dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“ALC ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan,” kata Wisma Putra. 

Pada 2023, Brunei Darussalam merupakan rakan perdagangan ke-30 terbesar Malaysia dan rakan perdagangan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion). 

Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pada tahun lepas bernilai RM6.4 bilion (US$1.4 bilion), manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (US$0.64 bilion). Jumlah lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (US$0.76 bilion).

Dari Januari hingga Mei tahun ini, Malaysia mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.53 bilion (US$0.75 bilion) dengan Brunei. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan