AM > BERITA

Festival Kraf Perak 2024 Sasar RM1 Juta Kutipan Jualan

24/08/2024 09:30 PM

TELUK INTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan kutipan jualan berjumlah RM1 juta hasil penganjuran Festival Kraf Perak (FKP) 2024.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata FKP 2024 yang diadakan di Dataran Menara Condong di sini membabitkan 56 usahawan kraf yang menjual pelbagai produk antaranya tekstil serta hasil rimba, tanah, logam, dan aneka kraf.

Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan kira-kira 80,000 pengunjung sepanjang festival itu diadakan selama 10 hari bermula semalam.

"Antara kelainan yang ditonjolkan sepanjang festival ini iaitu penglibatan masyarakat Orang Asli antaranya Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Pos Kuala Mu yang mengetengahkan produk anyaman rotan serta PPKK Bawong yang menjual produk batik. 

"Projek PPKK diadakan bertujuan membangunkan dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk membabitkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan," katanya pada sidang media selepas sesi jelajah mesra sempena FKP 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Ainu Sham Ramli.

Shaharuddin berkata penganjuran festival itu diadakan bertujuan menyediakan platform kepada usahawan kraf mempromosikan dan mengkomersialkan produk kraf kepada masyarakat tempatan serta pelancong selain meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf beridentitikan Malaysia.

Pelbagai pengisian menarik diadakan seperti jualan produk kraf, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Produk Baharu, Pameran Adiguru Kraf, demonstrasi kraf, interaktif kraf, ekspresi kraf dan jualan makanan tradisional Perak.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan teka berat congkak, ragam hias seramik, kukur nyiur, tarik tali, anyaman kelarai, ukiran buah tembikai, gusti lengan serta pertandingan fesyen cilik merdeka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan