AM > BERITA

Mpox: KDN Tumpu Kawalan Keselamatan Di Empat Pintu Masuk Utama Negara

25/08/2024 03:54 PM

MELAKA, 25 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan tumpuan di empat pintu masuk utama negara dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan mengekang penularan mpox atau cacar monyet. 

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat pintu masuk utama itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2(KLIA 2), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Beliau berkata pihaknya juga memantau ‘laluan tikus’ yang terdapat di sempadan negara terutama sekitar Sungai Golok menerusi kawalan keselamatan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kita bercakap tentang 141 pintu masuk … tiga perempat daripada kemasukan pelancong menerusi KLIA, KLIA2, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, meninggalkan satu perempat sahaja menggunakan lain-lain pintu, jadi keutamaan kita ialah empat pintu masuk utama itu.

“Laluan-laluan lain (yang tidak sah) itu kita kenal pasti sebagai laluan tikus (iaitu) laluan yang kita tahu jumlah dan lokasi. Itu di bawah pengawasan, kalau polis di bawah PGA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena ulang tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata walaupun penularan mpox dalam negara disifatkan terkawal ketika ini namun kerajaan tetap mengambil pendekatan berwaspada.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak jangkitan virus itu di Republik Demokratik Congo merebak ke negara jiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan