AM > BERITA

Tanah Jerlus: Operasi SAR Guna Teknik ‘flushing' - Datuk Bandar KL

25/08/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) --  Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang masuk hari ketiga hari ini diteruskan dengan kaedah baharu iaitu teknik ‘flushing’ selepas pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini gagal membuahkan hasil.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan pasukan SAR dan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati aliran air di kawasan fokus pencarian iaitu lurang kelima dan keenam agak perlahan.

Lurang kelima dan keenam masing-masing terletak di Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar dan Bulatan Kinabalu.

“Pihak IWK akan menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ di hiliran dan mereka juga mempunyai ‘mapping’ yang lengkap dalam kawasan ini dan bersetuju untuk menjalankan ‘integrity test’ di kawasan ini,” katanya dalam sidang media berhampiran lokasi kejadian hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat serta Ketua Pegawai Eksekutif IWK Nanrendran Maniam.

Rozihan pula berkata pencarian dilakukan semula di lurang lima dan enam walaupun ia telah selesai semalam.

Beliau berkata hasil carian mendapati arus di kedua-dua lurang agak perlahan dan ia mungkin akibat tersumbat atau terdapat reruntuhan puing di situ.

“... sebab itu, hari ini kita buat carian semula guna taktik ini untuk pastikan tiada apa-apa yang tersangkut,” katanya.

Rozihan berkata setakat ini, pasukan SAR akan meneruskan pencarian sehingga mangsa ditemukan.

Dalam pada itu, Narendran berkata teknik 'flushing' akan dilakukan dengan membuat sekatan air berdekatan lurang di mana mangsa dikhuatiri tersekat sebelum dilepaskan dengan cepat bagi mewujudkan daya tolakan.

“Kita akan tahan air… paras air akan naik dan apabila kita buka, ia akan tolak balik. Kita kini dalam persiapan untuk melakukan 'flushing' di kawasan yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi operasi SAR dibuka secara berperingkat bagi meluaskan kawasan pencarian.

Insiden pada pagi Jumaat lepas menyaksikan mangsa, yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa, yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan