AM > BERITA

Istiadat Persandingan Tengku Puteri Afzan, FD Idzham Berlangsung Penuh Tradisi

26/08/2024 12:06 AM

KUANTAN, 25 Ogos (Bernama) -- Istiadat persandingan anakanda Sultan Pahang Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar berlangsung dengan penuh tradisi di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini malam ini.

Istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selain dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anak bekas Presiden Indonesia Suharto Siti Hediati Hariyadi.

Istiadat bermula pada 8.30 malam selepas Tengku Puteri Afzan, yang juga kembar Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah, dibawa masuk ke Balai Mahkota disusuli ketibaan pengantin lelaki diiringi paluan kompang.

FD Idzham kemudian menghampiri Tengku Puteri Afzan dan menyerahkan sirih lat-lat yang kelihatan seolah-olah sejambak bunga kecil kepada isterinya yang menanti di peterana.

Majlis diteruskan dengan istiadat menyuap nasi semangat atau pulut kuning antara pasangan pengantin yang segak dan anggun mengenakan busana berona putih yang disempurnakan kekanda Sultan Pahang Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tan Sri Dr Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah. 

Sejurus itu, istiadat bersanding dan merenjis dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah diikuti Tunku Azizah, Sultanah Zahirah, Tengku Hassanal serta kekanda-kekanda Tengku Puteri Afzan yang mengenakan baju Melayu berwarna biru. 

Ibu bapa pengantin lelaki iaitu Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Datin Seri Hafizah Mohd Zakaria serta datuk dan nenek FD Idzham iaitu Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din serta Puan Sri Zainun Yaacob turut merenjis pasangan mempelai.

Turut merenjis pasangan itu Siti Hediati Hariyadi, Wan Rosdy dan isterinya, Datin Seri Burhah Mohammed. 

Majlis diakhiri dengan meletakkan peralatan istiadat iaitu pancabicara sebagai tanda merestui pasangan itu yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diikuti bacaan doa oleh Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

Pasangan pengantin yang bagai pinang dibelah dua itu kemudian dibawa meninggalkan istiadat bersanding untuk majlis memotong kek dan santapan.

Tengku Puteri Afzan dan FD Idzham selamat diijabkabulkan pada Khamis lepas di Balai Mahkota disusuli istiadat berinai pada Jumaat.

Kesemua istiadat disiarkan secara langsung menerusi dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan satu di Tasik KotaSAS di sini.

Tinjauan Bernama di Dataran MBK 1 hari ini mendapati orang ramai mula membanjiri padang itu pada 7 malam untuk mengikuti secara dekat majlis berkenaan selain dilihat turut merakam istiadat perkahwinan diraja tersebut sebagai tanda kenangan.

Turut menarik perhatian ialah penganjuran Pasar Sera yang menempatkan ruang untuk orang ramai menitipkan ucapan kepada pasangan itu selain 80 gerai menjual pelbagai juadah makanan dan barangan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan