AM > BERITA

Tanah Jerlus: Penduduk Flat Malayan Mansion Bimbang Kediaman Terjejas

26/08/2024 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Penghuni di 160 unit kediaman di Flat Malayan Mansion, Jalan Masjid India di sini tidak lena tidur kerana risaukan keselamatan masing-masing berikutan jarak kejadian tanah jerlus yang berlaku Jumaat lepas, tidak sampai 50 meter dari kediaman mereka.

Ia ditambah lagi dengan keadaan cuaca hujan lebat sejak beberapa hari lepas yang dikhuatiri akan menjejaskan lagi struktur tanah di kawasan kejadian.

Penduduk, Suraya Syakila Abdullah, 57, berkata setakat ini penduduk di kawasan itu tidak menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa untuk mengosongkan bangunan kediaman mereka dan dia sendiri tidak bercadang untuk berpindah kerana yakin kawasan itu masih selamat.

“Kejadian tanah jerlus ini memang merisaukan lebih-lebih lagi ini merupakan yang kedua di lokasi sama.

“Saya masih ingat kejadian yang pertama berlaku beberapa tahun lepas turut menyebabkan kawasan ini kecoh sekejap, tetapi nasib baik tiada sesiapa yang tercedera ketika itu,” katanya yang telah menetap di flat berkenaan sejak 30 tahun lepas, ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Dianggarkan terdapat lebih 800 penghuni di Flat Malayan Mansion yang berketinggian lapan tingkat itu dengan kebanyakannya adalah warga tempatan.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai, Vinda, 42, berkata dia menyewa di flat berkenaan sejak setahun lepas untuk mudah berulang-alik ke tempat kerja di sebuah premis menjual pakaian di kawasan itu.

"Saya baru tinggal di sini sejak setahun lepas dan buat masa ini tidak bercadang berpindah namun berharap keadaan di sini selamat dan mangsa dapat dijumpai," katanya.

Jumaat lepas, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.20 pagi.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan