AM > BERITA

Banjir: 139 Orang Masih Berada Di Dua PPS Di Perak Setakat 10 Pagi

26/08/2024 11:00 AM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak kekal 139 orang daripada 34 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Muallim serta Larut, Matang dan Selama, setakat 10 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan di Muallim, 116 mangsa daripada 27 keluarga dari Kampung Pasir ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kampung Pasir.

Seramai 23 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Tebuk pula ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk serta Kuala Kangsar akan mengalami hujan pagi ini.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.

"Laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang juga dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan berkenaan," menurut JKR.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan