AM > BERITA

Warga Asing Maut Di Tapak Pembinaan: JKKP Ambil Tindakan Jika Ada Pelanggaran Akta

28/01/2025 09:51 PM

IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak bertanggungjawab susulan kejadian buruh warga asing maut akibat terjatuh di tapak pembinaan di Meru Raya, semalam.

Pejabat Pengarah JKKP Perak dalam kenyataan memaklumkan tindakan tersebut akan diambil sekiranya mendapati berlaku perlanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, JKKP telah memberikan notis pemberhentian serta-merta terhadap aktiviti pemasangan bumbung yang telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Pihak jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan.

“JKKP Perak akan menjalankan siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi yang dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan siasatan awal JKKP mendapati semasa kejadian dimaklumkan mangsa bekerja berseorangan di atas bumbung manakala dua lagi rakan mangsa berada di bawah untuk persiapan barang kerja.

Mangsa menjalankan kerja pemeriksaan tempat untuk memasang lifeline di gutter frame dan dipercayai terjatuh dari gutter frame pada ketinggian lebih kurang tujuh hingga sembilan meter dari lantai.

Semalam, media melaporkan seorang pekerja binaan warga asing maut selepas terjatuh daripada ketinggian lapan meter di tapak pembinaan bangunan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Meru Raya di sini.

Lelaki berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang ke lokasi ketika operasi menyelamatkan dijalankan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan