AM > BERITA

MINDEF Tunggu Laporan Penuh KD Pendekar Tenggelam - Mohamed Khaled

26/08/2024 02:19 PM

KOTA TINGGI, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang mengalami kebocoran dan tenggelam di kedudukan dua batu nautika di Tenggara Tanjung Penyusop di sini, semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata TLDM telah memulakan siasatan kejadian menimpa kapal beroperasi pada tahun 1979 dan berusia hampir 50 tahun itu.

Bagaimanapun beliau berkata faktor usia berkemungkinan bukan menjadi antara penyebab kejadian berkenaan berlaku.

“Kita tidak menafikan bahawa usia kapal-kapal (TLDM) kita ada yang telah terlalu lama, tetapi itu mungkin bukan antara punca. Puncanya seperti yang dikatakan, iaitu terlanggar objek bawah air dan perkara ini sedang disiasat. Namun, kita bersyukur ia (kejadian) tidak libat apa-apa korban,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini hari ini.

Ditanya mengenai jumlah kapal milik TLDM yang telah berusia, Mohamed Khaled berkata dianggarkan terdapat 10 hingga 15 kapal berusia lebih 40 tahun, sekali gus menjelaskan pemeriksaan dan penelitian terhadap kesemua kapal tersebut akan dijalankan pihaknya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata kerajaan berusaha gigih untuk memastikan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sedang dibina, siap mengikut jadual di samping membeli kapal baharu iaitu Kapal Misi Pesisir (LMS) dari Turkiye.

“Kapal LCS pertama akan beroperasi pada tahun 2026, kita ada lima kapal LCS, insya-Allah setiap tahun ada satu kapal LCS...untuk LMS pada bulan Oktober, November dan Disember tahun 2027,” katanya.

Semalam, TLDM menerusi kenyataan memaklumkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar disebabkan terlanggar objek bawah air ketika sedang melaksanakan penugasan operasi jam 12 tengah hari dan lembaga siasatan khas ditubuhkan sejurus kejadian.

Menurut kenyataan TLDM itu, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar, sebelum kapal tersebut ditenggelami air sepenuhnya dan kesemua kru ditempatkan di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih di sini.

Sementara itu, mengenai pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) TLDM di Bintulu, Sarawak beliau berkata pihaknya kini dalam proses rundingan dengan kerajaan negeri itu berhubung harga tanah premium bagi pembinaannya. 

“Kita sedang runding harga, jika dipersetujui kedua-dua pihak kita akan bina pangkalan tambahan baharu di situ untuk TLDM. Berdasarkan perancangan, pangkalan tersebut akan turut menjadi pangkalan Kapal LMS,” katanya sambil menambah proses pembinaan pangkalan akan dimulakan setelah proses pembayaran premium tanah itu selesai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan