AM > BERITA

Pelancong Asing Teruja Lihat Jalur Gemilang Gergasi Di Menara KL

26/08/2024 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Acara ‘unboxing’ Jalur Gemilang gergasi sempena sambutan Hari Kebangsaan di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur hari ini menarik tumpuan pelancong luar negara yang pertama kali melihat bendera Malaysia gergasi itu.

Pegawai perhubungan awam di Washington DC yang mahu dikenali sebagai Seng Hla, 31, ketika ditemui semasa menyaksikan acara tersebut berkata sepanjang hidupnya, dia tidak mengenali rupa bendera Malaysia walaupun sering mendengar keunikan negara ini daripada rakan dan juga saudara mara terdekat.

"Peluang melawat negara ini bersama keluarga saya buat pertama kali sejak semalam.. memang kami rasa bertuah dapat lihat bendera ini dengan lebih dekat.

“Nampaknya bendera negara ini hampir sama dengan bendera kami (Amerika Syarikat), ada warne putih, merah dan biru, dihiasi dengan bintang, memang sesuatu yang baharu bagi warga asing seperti saya,” katanya ketika ditemui di Menara KL hari ini.

Sementara itu seorang pakar teknologi maklumat di Arab Saudi Shaju Velivalath, 55, dari Kerala, India, pula berkata beliau banyak melihat bendera Malaysia dikibarkan di sepanjang jalan sewaktu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel penginapannya bersama keluarga di ibu kota, semalam.

“Pada masa itu saya tidak jangka acara ini akan berlangsung. Selepas menyaksikannya baru saya faham bahawa acara ini diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan. Nampaknya lawatan kami ini memang kena tepat pada masanya, tak sia-sia,” katanya.

Terdahulu acara ‘unboxing’ itu dimulakan pada 10 pagi dengan lebih 200 petugas mengangkat dan merentang Jalur Gemilang seberat 70 kilogram dengan ukuran 17.37 meter (lebar) dan 34.74 meter (panjang).

Sementara itu, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Shaikh berkata Jalur Gemilang itu akan dipasang di antena menara pada 27 dan 28 Ogos ini.

“Inisiatif pengibaran Jalur Gemilang gergasi ini telah dimulakan sejak tahun lepas namun ketika itu, ia bersifat eksperimental kerana kita belum arif tentang beberapa aspek teknikal seperti jangkaan arah angin dan kesesuaian berat bendera yang boleh dibawa.

“Tahun ini, kita lebih bersedia dan berharap ia boleh dijadikan sebagai acara tahunan bagi menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas selesai acara ‘unboxing’ itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Nazri Saad  pula berkata berkata kibaran Jalur Gemilang itu yang dipasang di ketinggian kira-kira 400 meter itu, boleh dilihat pada jarak sejauh 10 kilometer.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan