AM > BERITA

Malaysia berada Di Kedudukan Strategik Jadi Hab Timbang Tara Global

27/08/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kongres Timbang Tara Antarabangsa 2024 yang pertama di Malaysia menumpukan kepentingan negara serta kepimpinan Asia yang semakin berkembang dalam bidang timbang tara di peringkat global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata persidangan itu turut melambangkan komitmen Malaysia dalam usaha memajukan dan mentakrifkan semula amalan timbang tara bersesuaian dengan keperluan di peringkat antarabangsa.

“Dengan menganjurkan kongres ini, memperlihatkan kenyataan berani Malaysia yang bukan sekadar peserta dalam landskap timbang tara global semata-mata; kita penentu masa depannya. Malaysia dan seluruh Asia bersedia bersama-sama untuk memimpin dengan inovasi, integriti dan visi tentang apa yang perlu dan sepatutnya dilakukan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Azalina berkata demikian dalam ucapan khasnya di kongres berkenaan anjuran Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.

Menteri itu berkata lokasi strategik Malaysia di persimpangan laluan perdagangan utama meningkatkan kedudukannya sebagai hab timbang tara yang penting.

Beliau berkata masyarakat berbilang budaya di negara ini, dan menghormati kepelbagaian tradisi undang-undang serta bahasa memperkaya rangka kerja timbang tara.

“Keterangkuman ini membolehkan kita menampung pelbagai perspektif dan keperluan undang-undang. Dengan memanfaatkan kekuatan ini, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menjadi hab utama timbang tara bukan sahaja di Asia malah di peringkat global. Pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan memastikan kita kekal pilihan utama untuk timbang tara antarabangsa,” katanya.

Azalina berkata komitmen Malaysia untuk meningkatkan infrastruktur undang-undang dalam memajukan timbang tara diperlihatkan melalui pindaan terkini terhadap akta timbang tara yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai tahun ini.

“Kerajaan Malaysia konsisten memperjuangkan timbang tara sebagai komponen utama dalam persekitaran perniagaan kondusif yang bukan sahaja penting untuk pertumbuhan ekonomi tetapi menegakkan kedaulatan undang-undang pada skala global,” katanya.

Kongres berkenaan bertujuan mentakrifkan semula timbang tara antarabangsa dengan meneroka penubuhan mahkamah timbang tara, memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa serta mengenal pasti ciri-ciri utama bagi pusat timbang tara yang ulung. 

Selain itu, Azalina turut menyentuh mengenai kepentingan menyelaraskan amalan timbang tara di negara ini dengan piawaian global susulan lawatan beliau ke hab timbang tara utama di Hong Kong termasuk Hong Kong General Chamber of Commerce (HKGCC).

“Usaha berkenaan dan yang akan datang ke China dan India akan menjadi panduan dalam inisiatif strategik sekali gus meletakkan Malaysia dan AIAC dihormati dalam komuniti timbang tara antarabangsa.

“Di samping itu, badan kehakiman kita yang dikenali kerana pendirian 'pro-arbitrasi' menyediakan persekitaran stabil, menjadikan Malaysia boleh dipercayai dan pilihan untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan