AM > BERITA

Petugas SAR Masjid India Terima 150 Bungkusan Makanan Sumbangan TPM

28/08/2024 12:38 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India hari ini, menerima 150 bungkusan makanan sumbangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pegawai khasnya Arvend Applasamy berkata sumbangan itu diberikan sebagai tanda prihatin Ahmad Zahid atas jasa dan pengorbanan pasukan penyelamat operasi SAR yang memasuki hari kelima hari ini.

“Tujuan sumbangan bagi menghargai penat lelah serta sumbangan petugas barisan hadapan, yang berkorban dalam operasi pencarian ini. Saya mewakili pihak Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Sumbangan bungkusan makanan itu turut disampaikan kepada petugas media di lokasi yang menurut Arvend, berperanan menyampaikan berita yang tepat kepada masyarakat tentang insiden itu.

Hari ini merupakan hari kelima misi SAR pelbagai agensi untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang, selepas terjatuh dalam lubang yang terhasil akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Jumaat.

Pasukan penyelamat telah memperluaskan operasi mereka membabitkan enam lurang kumbahan di sekitar ibu negara iaitu di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar dan Bulatan Kinabalu.

Vijayaletchumy, 48, berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong dan sedang berjalan kaki menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum insiden malang itu berlaku.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan