BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

Hari Kebangsaan: APMM Julung Kali Peraga Enam Variasi Pakaian

29/08/2024 03:25 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) buat julung kali memperagakan enam variasi pakaian seragam kepada tatapan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Enam variasi pakaian terdiri pakaian bertindak celoreng digital, pejabat Empat Alfa, pejabat Empat Bravo, penerbang, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan sut kelengkapan perenang penyelamat.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata peragaan pakaian itu bertujuan mendedahkan rakyat kepada fungsi serta tanggungjawab agensi itu dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

"Julung kalinya pakaian itu diperagakan kepada tatapan umum sebab rakyat perlu didedahkan dengan pelbagai jenis pakaian berdasarkan kepada tugasan.

Selain itu, dapat memberi gambaran sebenar tentang tujuan serta tanggungjawab APMM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata aset laut turut ditonjolkan dalam perbarisan tahun ini antaranya bot buatan tempatan iaitu Perkasa 35, Benteng 1 dan Petir 83. 

Beliau berkata bot Perkasa 35 dipacu oleh tiga enjin 350HP Suzuki DF350A yang boleh dioperasikan sejauh 300 batu nautika ke sempadan perairan negara dengan kelajuan 47 knot untuk misi memintas dan menyelamat yang diatur gerak dari pangkalan utama APMM.

Selain itu, bot Benteng 1 diberikan semasa Op Benteng bagi mengekang kemasukan migran ke dalam negara. Ia merupakan Rigid Hull Fender Boat (RHFB) yang ditugaskan dalam operasi-operasi khas agensi.

Bot sepanjang 12.50 meter dengan kelajuan mencapai 60 knot ditugaskan kepada pasukan elit, Pasukan Tindakan Khas. Bot Petir 83 pula berukuran 12 meter dan dipacu oleh dua enjin 300 HP VERADO 4x stroke yang dengan kelajuan mencapai 50 knot untuk misi memintas dan menyelamat.

Turut ditonjolkan ialah Mobile Surveillance Unit (MSU) iaitu sistem radar bergerak yang bertindak mengesan aktiviti mencurigakan di laluan tikus yang tidak mampu dicapai oleh Sistem Pengawasan Sistem Laut (SWASLA).

Beliau berkata aset yang ditonjolkan tahun ini lebih canggih berbanding tahun lepas mencerminkan ketangkasan Maritim Malaysia sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa APMM berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab terutama di perairan negara.

"Di samping itu juga ia adalah untuk menunjukkan komitmen tinggi warga APMM untuk memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara sentiasa terjaga," katanya menambah

"Kemunculan aset juga memberi keyakinan terutama kepada komuniti maritim yang melakukan aktiviti di laut bersama-sama dalam usaha membangunkan ekonomi negara agar mencapai tahap lebih tinggi di samping memperlihatkan komitmen tinggi warga APMM untuk memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara sentiasa terjaga," katanya

Kontinjen APMM dengan kekuatan seramai 350 pegawai dan pegawai lain-lain pangkat penguat kuasa Maritim Malaysia dan turut tidak ketinggalan pancaragam Pusat Maritim Malaysia seramai 41 orang.

APMM berfungsi sebagai penyelaras kepada operasi mencari dan menyelamat maritim kebangsaan bagi pelbagai jenis kecemasan di laut serta menjaga keselamatan perairan Zon Maritim Malaysia termasuk Zon Ekonomi Ekslusif meliputi sehingga 200 batu nautika daripada garis pantai.

Antara sumbangan APMM dalam membanteras aktiviti perlanunan dan rompakan di laut, penyeludupan dadah dan barang-barang kawalan, pencerobohan bot nelayan asing dan kemasukan pendatang tanpa izin. Selain itu, ia juga memberi kesan positif kepada operasi mencari dan menyelamat di laut.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan tema "Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka" akan berlangsung 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan