BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

KKDW Terus Memperkasakan Sumbangan Wanita Luar Bandar

29/08/2024 04:55 PM

PORT DICKSON, 29 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memartabatkan sumbangan wanita, terutama dalam sektor pembangunan luar bandar serta mengiktiraf peranan mereka sebagai penyumbang utama ekonomi, politik, sosial, dan kesejahteraan negara.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata kerajaan juga bertekad untuk memperkasakan wanita sebagai tonggak pembangunan negara dengan melibatkan mereka secara aktif dalam inisiatif Belanjawan MADANI 2025.

Rubiah berkata laporan Belanjawan 2025 juga akan berfokus kepada komitmen Ekonomi MADANI, iaitu menyediakan peluang inklusif bagi meningkatkan penyertaan dan sumbangan wanita dalam ekonomi serta pembangunan negara.

"Bagi mengoptimumkan sumbangan wanita kepada ekonomi, Ekonomi MADANI telah menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh (FLPR) kepada 60 peratus berbanding tahap semasa 56 peratus. 

“Dalam merealisasikan hasrat itu, banyak inisiatif disediakan kerajaan kepada wanita yang ingin kembali dalam bidang kerjaya," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di Grand Lexis, Port Dickson di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rubiah berkata berdasarkan Data Demografi Malaysia bagi suku pertama tahun ini, wanita kini membentuk 48 peratus daripada keseluruhan penduduk iaitu 15.9 juta orang.

Beliau berkata populasi penduduk luar bandar pula seramai lapan juta dan daripada jumlah itu, dianggarkan hampir 50 peratus ialah wanita. 

"Data ini secara umum menunjukkan bahawa wanita terutamanya wanita luar bandar mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang enteng dalam membentuk masa depan negara.

"Wanita mempunyai pengaruh dan kepimpinan yang kuat dalam membentuk masa depan lebih baik dan cemerlang, jadi usaha untuk terus memperkasakan wanita harus dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Sementara itu, Rubiah berkata Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk wanita iaitu TVET Jelita mendapat sambutan mengalakkan wanita berkemahiran sekali gus menyumbangkan tenaga kerja kepada negara.

"Melalui latihan berkualiti, program itu ( TVET Jelita) bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal tetapi juga mempersiapkan wanita untuk memimpin dalam pelbagai sektor, mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan negara," kata beliau.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan