AM > BERITA

Hibiscus Petroleum Tambah Dua Sekolah Angkat Bantu Murid Kurang Berkemampuan

29/08/2024 08:13 PM

PASIR PUTEH, 29 Ogos (Bernama) -- Hibiscus Petroleum meneruskan khidmat sosialnya (CSR) dengan menambah dua lagi sekolah angkat syarikat itu bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menikmati nutrisi pemakanan lengkap di sekolah.

Pengurus Gudang Hibiscus Petroleum di Pangkalan Bekalan Tok Bali Ramlee Patta berkata sebelum ini dua buah iaitu Sekolah Kebangsaan Tok Bali dan Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu telah dipilih menerusi program berkenaan.

Beliau berkata untuk tahun ini, pihaknya menambah dua lagi sekolah di Pasir Puteh menyertai program ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku dan SMK Sungai Petai bermula sesi persekolahan 2025.

"Melalui program ini, 160 pelajar akan dapat menikmati pek sarapan untuk melengkapkan initiatif kerajaan bagi memastikan keperluan nutrisi pelajar kurang berkemampuan dipenuhi," katanya kepada pemberita di Program Kempen Keselamatan Murid Sekolah Rendah Daerah Pasir Puteh di SMK Sungai Petai, di sini hari ini.

Kempen keselamatan itu disertai 412 murid daripada enam buah sekolah rendah daerah Pasir Puteh yang menumpukan isu ancaman keselamatan diri di rumah, sekolah dan persekitaran awam.

Ramlee berkata pendekatan itu diambil memandangkan murid sekolah rendah adalah kumpulan sasaran yang memerlukan bimbingan serta pendedahan awal tentang keselamatan diri.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan tanggungjawab sosial, Hibiscus Petroleum menyantuni komuniti dan golongan memerlukan melalui program-program berobjektif meningkatkan kualiti hidup dan sosioekonomi di kawasan syarikat beroperasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan