AM > BERITA

Kuala Lumpur Antara 100 Teratas Kluster Sains Dan Teknologi Terbaik Dunia

29/08/2024 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur melakar sejarah apabila buat julung kalinya muncul sebagai antara 100 teratas iaitu di kedudukan ke-93 bagi Kluster Sains dan Teknologi (S&T) dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini adalah pencapaian besar bagi Malaysia di peringkat inovasi global apabila diletakkan di hadapan beberapa kluster ekonomi utama yang lain. 

Beliau berkata kedudukan Kuala Lumpur dalam kumpulan 100 teratas menunjukkan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa terutama di bidang penyelidikan saintifik dan kemajuan teknologi.

“Lonjakan Kuala Lumpur dalam senarai berprestij ini juga dicapai melalui peningkatan ketepatan geokod. Penyumbang utama kepada kejayaan ini termasuk penglibatan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS) yang dikenal pasti sebagai pemohon paten tertinggi khususnya dalam penyelidikan semikonduktor.

“Universiti Malaya turut diiktiraf sebagai organisasi penerbitan utama sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab inovasi saintifik dan teknologi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

GII ialah penanda aras yang menyenaraikan kluster ekonomi berdasarkan keupayaan inovasi dengan penekanan antaranya melibatkan kluster S&T.

Metodologi penilaian GII tidak mengambil kira sempadan pentadbiran atau politik sebaliknya memfokus kepada kawasan geografi dengan jumlah kepadatan tinggi pereka cipta inovasi dan kajian saintifik.

Selaras dengan usaha Malaysia yang menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan, Armizan berkata pencapaian itu membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, menarik pelaburan serta menggalakkan pertumbuhan berterusan dalam sektor sains dan teknologi negara.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, melalui agensinya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), akan terus memperkukuh kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan dan pemain industri dalam sektor-sektor berpotensi.

“… seperti elektronik dan elektrik, teknologi dan inovasi, pelancongan, makanan dan minuman serta industri kreatif yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar dan ekonomi keseluruhan negara,” katanya.

Dalam kalangan 100 kluster S&T teratas, Tokyo-Yokohama (Jepun) dan Shenzhen-Hong Kong-Guangzhou (China) menduduki tempat pertama serta kedua susulan jumlah permohonan Triti Kerjasama Paten (PCT) yang tinggi.

Selain Kuala Lumpur, empat kluster baharu membuat kemunculan pertama dalam kedudukan 100 teratas tahun ini iaitu Nanchang (China) di kedudukan ke-94 manakala Kaherah (Mesir) di tempat ke-95 sekali gus menjadi kluster pertama dari Afrika Utara.

Dua lagi kluster ialah dari China iaitu Kunming dan Wilayah Pentadbiran Khas Macao-Zuhai yang masing-masing menduduki tangga ke-98 serta ke-100.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan