AM > BERITA

MBSP Terima Dua Sijil MBOR Atas Pencapaian Cemerlang Dalam Pengurusan Kualiti

29/08/2024 11:38 PM

BUKIT MERTAJAM, 29 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima dua sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian cemerlang dalam pengurusan kualiti.

MBSP menjadi organisasi pertama di Malaysia menerima Pensijilan ISO 37301:2021 Sistem Pengurusan Pematuhan (CMS) serta Agensi Kerajaan Pertama di Malaysia Diiktiraf oleh SIRIM yang Mempunyai dan Mengintegrasikan Lapan Sistem Pengurusan Berasaskan Standard ISO Dalam Konteks Pelaksanaan, Dokumentasi dan Pengauditan.

Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid melahirkan rasa bangga dengan kesungguhan serta komitmen ditunjukkan seluruh warga kerja MBSP hingga membolehkan mereka menerima pengiktirafan itu. 

Beliau berkata MBSP telah melaksanakan program kualiti sejak 90-an dan mula melaksanakan ISO serta mendapatkan sijil ISO sejak 1999.

"Sistem Pengurusan ISO ini membantu dalam memberikan garis panduan dan membuat penetapan indeks prestasi utama (KPI) bagi setiap jabatan terutama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan termasuk memenuhi jangkaan dan kepuasan pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis pengiktirafan dan penyerahan sijil MBR di sini, hari ini.

Sijil pengiktirafan itu diserahkan wakil MBR Siti Hajar Johor kepada Baderul Amin serta disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan