AM > BERITA

Pupuk Perpaduan Melalui Nilai Hormat, Faham Dan Penerimaan - Aaron

30/08/2024 10:29 AM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Konsep hormat, faham, dan penerimaan perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia bagi mengukuhkan perpaduan dan merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata nilai-nilai ini penting untuk rakyat Malaysia ketika negara meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-67, dan ia harus menjadi keutamaan setiap lapisan masyarakat di semua peringkat.

“Pada usia negara 67 tahun ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengutamakan konsep faham, hormat, dan terima. Sikap ini penting untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemahaman adalah kunci kepada penerimaan yang akan menepis segala kegusaran yang timbul daripada perbezaan, dan rakyat perlu melihat perbezaan sebagai suatu kepelbagaian dan anugerah istimewa.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) selaku peneraju Agenda Perpaduan Nasional telah diberi kepercayaan untuk menyelaras Kontijen Perpaduan Malaysia MADANI dalam Segmen Komuniti acara perbarisan dan perarakan esok.

Aaron berkata kontinjen itu akan melibatkan 600 orang peserta yang mengenakan pakaian tradisional pelbagai etnik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk Orang Asal. Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan berlangsung esok di Dataran Putrajaya. 

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K.Saraswathy memohon agar semua pihak menghentikan serta-merta polemik berhubung isu-isu yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

Merujuk kepada isu poster komik berkaitan agama Hindu yang tular baru-baru ini, beliau berkata aspek sensitiviti agama boleh membawa kepada ketegangan dan perpecahan yang tidak diingini. 

"Oleh itu saya menyeru semua pihak untuk terus memupuk sikap saling menghormati dan mengelakkan daripada membuat kenyataan yang boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.

Seorang pengguna Facebook baru-baru ini memuat naik gambar komik seorang ibu mengajar anaknya berkaitan perbezaan antara Islam dan Hindu, namun hantaran itu didakwa menyinggung perasaan penganut Hindu di negara ini dan mengundang pelbagai reaksi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan