AM > BERITA

Tanah Jerlus: Dua Kali Bomba ‘selam’ Stesen Pam Sisa Kumbahan Cari Mangsa

30/08/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR 30 Ogos (Bernama) -- Stesen pam di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini dimasuki dua kali hari ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memeriksa sisa kumbahan dan menjejaki sebarang petunjuk kepada pencarian mangsa tanah jerlus.

Tinjauan Bernama mendapati anggota JBPM mengenakan pakaian perlindung diri (PPE) berwarna putih berserta helmet pada 12 tengah hari dan 3.35 petang.

Setiap pemeriksaan dilakukan anggota terlibat hampir 30 minit bagi mencari, mengesan dan mengenal pasti keberadaan mangsa sekiranya wanita 48 tahun itu berada di ‘end point’ atau lokasi terakhir keberangkalian ditemui.

Bernama difahamkan pemeriksaan akan terus dilakukan dua kali sehari selepas ini hingga mangsa dijumpai.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di loji itu hari ini ditangguhkan pada 4.45 petang dan akan bersambung esok.

Jumaat lepas, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan