AM > BERITA

MIV MCMC Bersama Komuniti Beri Nilai Tambah Maklumat Keselamatan Siber

30/08/2024 07:23 PM

PORT DICKSON, 30 Ogos (Bernama) -- Program Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) Bersama Komuniti mampu memberi nilai tambah kepada orang ramai terutama warga emas untuk mendapatkan maklumat mengenai keselamatan siber sekali gus memberi perlindungan kepada mereka daripada ancaman scammer.

Peserta program berkenaan Romiyah Rasidi, 76, berkata ilmu dan maklumat yang diperoleh sebagai MIV juga boleh digunakan untuk mendidik warga emas kerana golongan itu dilihat mudah mempercayai orang lain tanpa usul periksa serta sering terdedah dengan scammer.

”Sebagai Pengerusi beberapa persatuan termasuk Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Rasah, saya perlu memiliki lebih banyak ilmu mengenai sesuatu perkara untuk saya kongsikan kepada ahli dan kemudian mereka juga boleh sebarkan kepada keluarga serta rakan terdekat.

“Jadi saya rasa program ini sangat membantu terutama kepada warga emas, usia bukan penghalang, kalau tak pergi ke aktiviti sebegini, mana lagi nak dapat ilmu ini, lagipun ia percuma, pada saya ia seperti ‘hadiah’ kepada semua peserta,” katanya kepada Bernama ketika menghadiri program MIV Bersama Komuniti Peringkat Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri dan Pejabat Pembangunan Wanita negeri itu disertai 45 sukarelawan termasuk petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Komuniti Pejabat Pembangunan Wanita berusia lingkungan 20 hingga 76 tahun.

Terdapat pelbagai pengisian menarik sepanjang program dua hari itu termasuk pengenalan, inisiatif dan hala tuju MIV, kemahiran penggunaan telefon pintar untuk fotografi, videografi serta aktiviti berkumpulan selain latihan asas keusahawanan.

N. Logendran, 32, pula berkata program itu membantu mendidik lebih ramai ahli komuniti menghasilkan aplikasi dan perkhidmatan ICT yang memberi manfaat terutama kepada usahawan dalam talian.

“Walaupun program hanya dua hari tetapi maklumat yang diberikan sangat padat. Saya akan sampaikan kepada masyarakat di kampung saya iaitu Kampung Sri Paya. Modul program ini mengajar teknik ambil gambar dengan baik untuk promosi barang, penyuntingan, pembayaran secara dalam talian dan sebagainya.

“Kebanyakan penduduk buat perniagaan tapi mereka tak perluaskan dalam talian, jadi dengan adanya program ini, saya boleh bimbing mereka untuk bangunkan laman sesawang sendiri,” katanya yang baru pertama kali menyertai program seumpama itu.

Senada dengan beliau, Safiah Adam, 43, yang menjadi sukarelawan sejak 2019, menyifatkan MIV sebagai platform berinteraksi dengan komuniti setempat bagi membimbing penggunaan ICT yang lebih positif sekali gus mengelakkan penyalahgunaan Internet.

“Pada awalnya, semasa menyertai MIV saya tak dapat sokongan daripada komuniti sebab mereka tak sedar penggunaan Internet yang tidak betul akan mengundang jenayah tapi saya tidak berputus asa untuk melawat sekolah dan masuk ke kampung Orang Asli untuk beri pendedahan,” katanya.

Safiah, yang juga petugas di NADI Sungai Lui, Jempol, berkata golongan itu turut menjadikan NADI sebagai bahan rujukan apabila ingin mendapatkan kesahihan dan kebenaran mengenai sesuatu berita yang diterima.

Melalui program MIV, peserta diberi pendedahan mengenai latihan dan bimbingan serta panduan untuk melaksanakan aktiviti sukarelawan selama tiga bulan menerusi modul bengkel yang diberikan sekali gus membolehkan aktiviti kesukarelawanan dilakukan secara berkesan.

Mereka seterusnya akan diberikan sijil pengiktirafan sebagai sukarelawan setelah selesai menjalani program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan