AM > BERITA

"Silent Book Club JB" jadi Lokasi Tarikan Aktiviti Membaca 

30/08/2024 09:27 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 23 Ogos (Bernama) -- Tiga sekawan menampilkan kelainan dengan menganjurkan aktiviti membaca untuk penggemar buku di kafe dan taman rekreasi menerusi penubuhan kelab "Silent Book Club JB".

Kelab itu ditubuhkan Yee Xiang Yun, 34, Rhema Seng, 24, dan Lee Wern Yiing, 28, sejak Oktober tahun lepas dengan menggunakan slogan ‘Baca Jap’ untuk orang ramai memperuntukkan masa sejam membaca buku tanpa berkomunikasi.  

Yee berkata pemilihan slogan itu bagi mengajak orang ramai "mencuri sedikit masa" untuk membaca buku walau di mana mereka berada. 

“Walau pun masa yang diluangkan membaca hanya seketika tetapi amat berharga terutama untuk mereka yang sibuk bekerja atau mereka yang mahu mempunyai teman ketika membaca buku,“ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Yee berkata orang ramai tidak dikenakan sebarang caj untuk menyertai aktiviti membaca yang dianjurkan di lokasi terpilih sama ada di kafe atau taman rekreasi.

“Kalau ada yang suka dengan suasana taman boleh sertai aktiviti membaca di taman. Begitu juga di kafe, sedikit sebanyak dapat membantu perniagaan orang kita (tempatan),” katanya.

Semenjak diperkenalkan, kelab itu berjaya menarik penggemar buku dari pelbagai kaum yang berusia seawal empat hingga 40 tahun.

  “Kita setakat ini terima maklum balas yang bagus, sebab ada yang kata memenuhi matlamat, misalnya orang sibuk bekerja dan asyik tengok telefon, boleh meluangkan masa untuk menumpukan kepada membaca buku.

“Mereka boleh bawa sebarang buku sama ada komik atau sebagainya. Asalkan boleh membantu menyuntik semangat untuk membaca,” katanya.

Yee berkata Silent Book Club pada asalnya ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 2012 dan mencetuskan  inspirasi kepadanya dan dua rakan wanitanya untuk mewujudkan kelab itu di Johor Bahru.  

Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 Silent Book Club di 50 buah negara dan di Malaysia hanya ada di Kota Kinabalu, Sabah dan Johor Bahru yang menerima pengiktirafan ibu pejabat Silent Book Club.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai aktiviti membaca bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di kawasan tasik taman rekreasi Adda Heights di sini bermula 4.30 petang pada Ahad. 

“Orang ramai turut digalakkan membawa buku penulis tempatan atau yang berkisar tentang sejarah sempena bulan istimewa itu,” katanya. 

Beliau berharap agar kelab berkenaan akan terus mendapat sambutan dan dapat menyumbang dalam menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan