AM > BERITA

Menteri Kabinet Harap Hari Kebangsaan Beri Makna, Pengertian Baik Tentang Kemerdekaan

30/08/2024 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Barisan Jemaah Menteri menerusi media sosial masing-masing hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-67 yang akan disambut esok kepada rakyat Malaysia dan berharap sambutannya itu dapat memberikan makna dan pengertian yang baik tentang sebuah kemerdekaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata memasuki 67 tahun usia kemerdekaan, banyak kejayaan dan pencapaian yang telah dikecapi oleh Malaysia, oleh itu rakyat diharap supaya tidak membiarkan perbezaan pendapat meruntuhkan semuanya. 

“Segala kecanggihan teknologi dan kemodenan hari ini tidak bermakna sekiranya rakyat berpecah belah. Merdekakan jiwa daripada penyebaran kandungan dan komen jelik yang boleh menyakitkan hati orang lain,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menasihati golongan muda untuk banyak membaca, mencari kebenaran dan tidak terpedaya dengan dakyah palsu.

“Sebagai generasi penerus yang akan menentukan hala tuju negara, hargailah sejarah dan pengorbanan pejuang terdahulu. Sama-samalah pelihara dan tingkatkan lagi perpaduan sesama kita,” katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sambutan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan ialah hari yang cukup istimewa, justeru menjadi peranan dan tanggungjawab semua untuk terus memeliharanya agar tanah air kekal bebas, merdeka dan dihormati.

“Semoga negara ini dapat terus dicirikan dengan nilai-nilai yang unggul dan baik. Nilai-nilai yang mengangkat kesejahteraan, maruah diri dan kemanusiaan,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula berkata tahun ini merupakan kali ke-67 Malaysia menyambut kebebasan, perpaduan dan kemajuan, justeru beliau berharap rakyat dapat terus bersatu hati, memupuk semangat patriotisme dan berganding bahu untuk masa depan yang lebih gemilang.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata konsep "kemakmuran bersama, tanggungjawab bersama" mesti menjadi persefahaman dalam kalangan rakyat kerana perpaduan nasional ialah kekuatan negara.

Hal ini terutama apabila negara menghadapi perubahan landskap global selain untuk mengelakkan "perpecahan etnik" dalam usaha ke arah membangunkan negara yang mampan.

“Seruan untuk era baharu di Malaysia telah ditiup dan kita sedang bersiap sedia untuk terus melakar kejayaan! Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) pada tahun hadapan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam meletakkan asas kukuh bagi menarik minat pelaburan dan kerjasama antarabangsa.

“Marilah kita bersama-sama merealisasikan dasar dan perancangan kemajuan Malaysia MADANI supaya dapat meraikan kemakmuran dan menikmati kejayaan bersama-sama!” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama memastikan tahap keterjaminan makanan negara kekal cukup, seiring dengan konsep "Keterjaminan Makanan, Kita Usaha Bersama-sama".

“Ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini amat bermakna kepada saya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana tahun ini, KPKM akan menganjurkan MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan) edisi khas, bersempena dengan meraikan 100 tahun penganjuran MAHA yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 Sept di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia), Serdang.

“Semoga semangat 'MALAYSIA MADANI: Jiwa Merdeka' akan terus meresap ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia dan seterusnya membawa kita semua ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan makmur,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata seiring semangat kemerdekaan, kerajaan MADANI akan terus berdiri teguh dan tidak akan berkompromi dalam hal mempertahankan kedaulatan negara, serta tidak sesekali membenarkan mana-mana pihak memandang enteng dengan memberikan satu inci tanah atau satu batu kecil, diserah haknya kepada negara lain.

“Sebab itu, kerajaan akan membentangkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen untuk menjadi pengajaran dan iktibar kepada anak-anak bangsa pada masa akan datang. Kecuaian membawa pengkhianatan pada negara,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata kemerdekaan yang dikecapi hari ini ialah harga yang dibayar bagi pengorbanan wira-wira yang mempertahankan negara suatu ketika dahulu.

Oleh itu, beliau berkata generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang haruslah berusaha gigih dalam mempertahankan kemerdekaan negara daripada terus difitnah dan dihasut dari pelbagai sudut terutama sekali dalam media sosial.

“Penyebaran fitnah yang memberi persepsi negatif kepada pemimpin dan kerajaan di mata rakyat haruslah dihentikan serta-merta,” katanya.

Bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, tema sambutan "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" yang ditampilkan kali ini mengingatkan tentang kepentingan semangat kebangsaan yang mendalam dan cintakan tanah air, oleh itu beliau mengajak rakyat agar menguatkan azam dan usaha untuk memastikan kemakmuran, kestabilan dan keharmonian negara bagi memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan