KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie–Toh Ee Wei atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata kemenangan bergaya 21-15, 21-14 ke atas Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China itu adalah hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada wira dan wirawati negara kita. Semangat juang serta disiplin mereka menjadi bukti bahawa Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia,” katanya.
Kejayaan itu menoktahkan penantian hampir dua dekad selepas pencapaian terbaik negara dalam acara beregu campuran pada kejohanan itu hanyalah di peringkat separuh akhir menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.
Ahmad Zahid berkata detik kemenangan itu turut menyentuh perasaan rakyat Malaysia yang menyaksikannya secara langsung sehingga ramai mengakui menitiskan air mata pada saat mata kemenangan terakhir diraih.
“Inilah semangat Merdeka yang sebenar! Bersatu hati tanpa mengira bangsa dan agama, bersatu terus mengharumkan nama negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berdiri teguh menyokong dan mendoakan kejayaan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah yang sedang bersaing pada aksi final pada kejohanan yang sama.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada beregu wanita negara Pearly Tan- M.Thinaah yang meraih pingat perak pada pentas akhir.
Pasangan ranking nombor dua dunia itu tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning selepas mengharungi tiga set perlawanan yang berlangsung selama 83 minit di Adidas Arena.
Beliau berkata meskipun Pearly-Thinaah tidak membawa pulang kejuaraan, pencapaian mereka tetap menjadi sejarah membanggakan apabila muncul sebagai beregu wanita pertama Malaysia mara ke final kejohanan berprestij itu.
Katanya semangat dan kerja keras kedua-dua pemain itu telah mengangkat nama Malaysia dengan penuh bermaruah di mata dunia.
“Kalian tetap juara di hati rakyat Malaysia!
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pearly Tan-Thinaah serta seluruh pemain yang telah berjuang habis-habisan demi Malaysia. Anda semua adalah kebanggaan negara, penguat semangat rakyat dan pencetus inspirasi buat generasi akan datang! Malaysia Bangga, Malaysiaku Boleh!,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial